Friday, May 21, 2010

Beza ladung hidup dan ladung mati

Batu ladung lazimnya diperbuat daripada timah kerana ciri utama timah ialah ketumpatan tinggi dan menjadikannya berat, suhu lebur rendah menjadikan kos pembuatan murah, tahan karat dan tahan hakisan air laut. Ia juga logam yang paling banyak dikeluarkan oleh negara kita. Dua jenis batu ladung utama yang digunakan pemancing ialah ladung hidup dan ladung mati. Ladung hidup memberi maksud ia membenarkan tangsi bergerak bebas melaluinya tanpa diikat. Fungsi utama ialah memberi ruang kepada tali melaluinya tanpa perlu mengheret ladung.

Di sini ladung akan kekal pada posisi asal tanpa bergerak ketika umpan dilarikan ikan. Ramai pemancing berpendapat ikan lebih teruja apabila umpan kelihatan seperti bebas. Maknanya apabila umpan disambar, ikan tidak terasa berat dan ia tidak mudah meluahkan kembali umpan berkenaan. Ketika ini pemancing akan memberi tali kepada ikan yang biasanya mengambil masa ketika proses mengesan, mengonggong dan seterusnya peringkat menelan umpan. Sesetengah ikan akan memuntahkan kembali umpan apabila terasa ‘berat’ dan umpan tersangkut-sangkut pergerakannya. Jenis ladung hidup yang popular ialah ladung biji kana dan ladung bulat.

Ladung mati pula ialah ladung yang diikat tangsi. Kalau ladung hidup tangsi hanya lalu didalamnya, ladung mati pula tangsi dimatikan pada ladung itu sendiri termasuk menggunakan kili atau klip. Ladung jenis ini lebih popular dikalangan pemancing laut dalam dan teknik pancing apollo. Sesuai untuk kawasan berarus deras di mana ladung bertindak sebagai penahan umpan kecuali apabila umpan dilarikan ikan.

Namun begitu, kedua-dua jenis ladung boleh dijadikan dwi fungsi bergantung kepada kreativiti dan teknik yang diguna pakai pemancing. Dengan kata lain, ladung mati boleh dijadikan ladung hidup menggunakan aksesori tambahan seperti tanduk yang boleh bergerak.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment